14 OKT : Bersatu memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan berikutan pelanggaran kod etika dan perlembagaan parti.
Sementara seorang lagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahliannya selama satu penggal pilihan raya.
Perkara itu diputuskan Lembaga Disiplin Bersatu tertakluk di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Selain itu, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
“Lembaga Disiplin menerima aduan bertulis daripada ahli terhadap responden berikut pelanggaran peruntukan perlembagaan dan tatakelakuan ahli parti.
“Sehubungan itu, Lembaga Disiplin mengambil tindakan menyiasat aduan dan memanggil responden untuk satu sesi pendengaran pada 8 Oktober dan seterusnya membuat keputusan selaras dengan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu,” menurut Lembaga Disiplin dalam satu kenyataan.
Mengikut Perlembagaan Bersatu, ahli yang dikenakan tindakan boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari.
Laporan media sebelum ini mendakwa keputusan itu berkait penglibatan tujuh individu dalam ‘gerakan akuan berkanun (SD)’ yang bertujuan menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta peranan mereka dalam kekecohan yang berlaku semasa sebuah acara rasmi, baru-baru ini.