Insiden tikaman pelajar: Jangan tular gambar mangsa
15 OKT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan gambar atau video berkait kes tikam di sekolah, semalam.
Menurut MCMC, pihaknya boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar kandungan tersebut.
“MCMC menggesa semua pihak agar bertindak dengan penuh tanggungjawab dan tidak berkongsi, menghantar semula atau memuat naik sebarang kandungan, termasuk gambar atau video, yang memaparkan mangsa, pelajar lain atau lokasi kejadian.
“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang mengedarkan kandungan sedemikian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, har ini,
Dalam pada itu, MCMC menasihatkan agar mana-mana kandungan yang sudah dimuat naik segera dipadam.
“Sekiranya kandungan sedemikian telah dimuat naik, orang ramai dinasihatkan supaya segera memadamkannya.
“Perbuatan menyebarkan gambar atau video mangsa bukan sahaja melanggar privasi dan maruah keluarga terlibat, serta menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata MCMC.
Dalam kenyataan sama, pihaknya sempat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar perempuan yang meninggal dunia dalam insiden tragis itu.
Dalam kejadian 9.10 pagi semalam, pelajar Tingkatan Tiga itu ditemukan berlumuran darah dipercayai ditikam di dalam tandas si sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Polis kemudiannya menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.