Israel terus cabul gencatan senjata, serang orang awam
15 SEPT : Rejim zionis Israel terus-menerus mencabuli perjanjian gencatan senjata dengan melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza.
Agensi Berita Palestin WAFA melaporkan kereta kebal Israel melepaskan tembakan meriam ke arah orang awam di bandar Bani Suhaila serta kawasan kejiranan Sheikh Nasser di timur Khan Yunis dan Kota Gaza.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, seramai 44 rakyat Palestin termasuk 38 mayat yang baharu ditemukan serta 29 yang cedera dibawa ke hospital.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Israel memutuskan untuk mengurangkan separuh jumlah lori bantuan yang dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza.
Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq berkata Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah Palestin (COGAT) memaklumkan keputusan itu melalui surat rasmi dengan alasan tindakan tersebut dilakukan berkaitan pemulangan mayat tahanan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semua pihak perlu mematuhi komitmen masing-masing termasuk pemulangan mayat tahanan serta melaksanakan peruntukan lain dalam perjanjian gencatan senjata yang dimetrai.