KENYATAAN MEDIA
JABATAN PEGUAM NEGARA
Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka dirogol.
Hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap individu-individu yang terlibat.
Sehubungan itu, Jabatan ini memutuskan untuk individu-individu terbabit didakwa di bawah seksyen 375B dan 377B Kanun Keseksaan [Akta 574], serta seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] pada hari ini di Mahkamah Majistret Melaka yang mempunyai bidang kuasa setempat (local jurisdiction).
Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap kesalahan jenayah, khususnya yang melibatkan mangsa kanak-kanak dan jenayah seksual, diambil tindakan sewajarnya dan ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuat kuasa.
JABATAN PEGUAM NEGARA