Kerajaan pertimbang larang pelajar bawah 16 tahun guna telefon pintar

17 OKT : Kerajaan mempertimbangkan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar yang berusia di bawah 16 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara cadangan yang diutarakan dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini sebagai sebahagian langkah segera menangani isu keselamatan di sekolah.
“Kita dapati kesan pengaruh media sosial dan permainan atas talian kadangkala menjurus kepada banyak tindakan jenayah.
“Itu sebab kita akan ambil tindakan melarang penggunaan telefon pintar untuk pelajar berumur 16 tahun ke bawah.
“Kajian masih dijalankan, tetapi banyak negara telah melaksanakan langkah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kandungan pendidikan berasaskan nilai dan akhlak perlu diperkukuh selain penglibatan aktif ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) amat penting bagi memastikan kesejahteraan pelajar.
“Perkara yang diteliti, seperti yang saya sebut, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) akan memberikan penjelasan yang lebih luas.
“Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru, ibu bapa dapat beri kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Beliau sempat mengingatkan pengetua dan guru besar di semua sekolah agar tidak melindungi salah laku pelajar demi menjaga imej sekolah.
“Keutamaan pengetua, guru besar, kadangkala ialah melindungi imej sekolah. Anak-anak bergaduh, bertempur…mereka kira soal imej sekolah. Kita perlu tekankan bahawa mereka juga bertanggungjawab.
“Kalau ada yang melindungi, maka ia dianggap satu kesalahan, maknanya melindungi jenayah. Kadang-kadang mereka anggap kes buli itu kecil…tapi yang kecil itu, jika tidak ditangani, boleh menjadi besar,” katanya.