17 OKT : Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi merancang memperketatkan mekanisme pengesahan umur bagi memastikan kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dapat membuka akaun media sosial secara bebas.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil perbincangan sedang diatur bersama platform utama bagi memastikan pelaksanaan dasar ini dapat dijalankan dengan berkesan dan selaras dengan sistem operasi masing-masing.
Langkah tersebut diperkenalkan bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan berbahaya, eksploitasi digital, buli siber dan penipuan yang semakin berleluasa di media sosial ketika ini.
Kajian menunjukkan ramai kanak-kanak di bawah umur 13 tahun sudah mula menggunakan media sosial lebih awal, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko dalam talian.
Sehubungan itu, dasar ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh perlindungan digital serta memastikan keselamatan kanak-kanak terus menjadi keutamaan.
Walaupun kebanyakan platform media sosial menetapkan had umur minimum 13 tahun, dasar ini tidak dikuat kuasa secara berkesan kerana kelemahan dalam mekanisme verifikasi identiti yang hanya bergantung kepada maklumat tarikh lahir tanpa pengesahan dokumen rasmi.
Selaian itu, kos pembangunan sistem verifikasi yang tinggi, perbezaan undang-undang antara negara serta keutamaan terhadap pertumbuhan pengguna menjadikan platform enggan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya kerana dikhuatiri menjejaskan operasi dan keuntungan.
Sebagai langkah baharu, kerajaan bercadang menggunakan sistem pengesahan identiti elektronik atau ‘elektronic-Know-Your-Customer (eKYC) yang membolehkan semakan umur dibuat melalui dokumen rasmi seperti kad pengenalan dan pasport.
Melalui kaedah ini, setiap platform boleh menolak pendaftaran bagi individu bawah umur 13 tahun manakala akaun sedia ada yang gagal disahkan boleh digantung atau dinyahaktifkan.
Namun, pelaksanaan sistem ini dijangka berdepan beberapa cabaran termasuk isu privasi dan perlindungan data kerana maklumat identiti sensitif perlu dijaga selaras dengan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Selain itu, platform antarabangsa turut berdepan cabaran untuk mematuhi undang-undang tempatan dan antarabangsa secara serentak, selain risiko pengguna mengelak sistem dengan menggunakan akaun ibu bapa atau dokumen orang lain serta keperluan memastikan sistem verifikasi cukup kukuh dan komitmen platform dalam melabur bagi menyokong dasar ini.
Pelaksanaan dasar ini dijangka disokong melalui dua rangka perundangan utama iaitu Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act, ONSA) yang memberi kuasa kepada kerajaan melaksanakan pengesahan umur dalam talian.
Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) turut membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan arahan pematuhan kepada platform bagi memastikan pelaksanaan dasar ini dapat dijalankan dengan berkesan.
Pelaksanaan dasar ini akan memberi kesan langsung kepada pengguna dan industri di mana platform media sosial perlu melaksanakan modul verifikasi identiti serta melaporkan data pematuhan kepada pihak berkuasa, manakala akaun yang tidak sah atau gagal melepasi proses verifikasi mungkin akan digantung atau ditutup sepenuhnya.
Selain itu, peranan ibu bapa dan penjaga penting dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka, sementara industri digital pula perlu menyesuaikan model operasi dan dasar privasi agar selaras dengan keperluan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

OLEH : AISYAH BADRUL