17 OKT : Penutupan jalan dan laluan utama di ibu negara sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini hanya bersifat sementara.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata tiada penutupan penuh dibuat di kesemua laluan utama yang terbabit dengan pergerakan ketua negara asing.
“Bukan ‘lockdown’. Mungkin contohnya ada Ketua Negara melalui Lapangan Terbang Subang ke Kuala Lumpur maka laluan tersebut ditutup sementara dan kebanyakan adalah secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya sempena penganjuran persidangan itu.
Dalam pada itu, seramai 16,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas bagi melancarkan aliran trafik dan berkawal di ibu kota pada 23 hingga 28 Oktober ini.
Malaysia sebagai tuan rumah bagi penganjuran kali ini menjangkakan kehadiran beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.