18 OKT : Kerajaan berhasrat untuk menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat.
Menurutnya, had umur sama sudah dilaksanakan di beberapa negara seperti Australia dan Indonesia.
“Jemaah menteri juga telah membincangkan untuk meningkatkan had umur pengguna media sosial.
“Sebelum ini kita ada sebut tentang umur 13 tahun tetapi jemaah menteri telah membincangkan untuk menaikkan ke 16 tahun.
“Ini sama seperti yang dilakukan di beberapa buah negara termasuk Australia dan Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat.
Menurut Fahmi yang juga Menteri Komunikasi, penguatkuasaan had umur itu dibuat melaluidokumen rasmi kerajaan.
“Cara had umur ini akan dikuatkuasakan adalah melalui pendaftaran dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID,” katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga akan berbincang dengan beberapa pihak berkait pelaksanannya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).
“Kita juga akan mengadakan perbincangan yang mendalam bersama pihak BNM dan juga beberapa pihak yang lain.
“Berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem eKYC (pengesahan identiti elektronik) bagi contoh e-wallet (e-dompet). Itu memang bagi beberapa aplikasi seperti Touch n Go e-wallet, Grab dan sebagainya ada aspek eKYC yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad,” katanya.