18 OKT : Tumpuan kini diberi kepada usaha mengenal pasti dan membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza, Palestin.
Perkembangan itu dimaklumkan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui panggilan telefon, petang tadi.
Menurut Anwar, el-Sisi memaklumkan usaha itu penting bagi memastikan rejim zionis Israel tiada alasan untuk melanggar perjanjian damai.
“Menerusi perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, petang tadi, saya menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza.
“Presiden El-Sisi memaklumkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza agar rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan,” kata Anwar.
Beliau memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini Anwar memaklumkan akan berhubung dengan el-Sisi berkait pembukaan Laluan Rafah bagi kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut Anwar, el-Sisi turut memaklumkan mengenai fasa kedua pelan damai iaitu pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Dalam kesempatan itu juga, el-Sisi menjemput Anwar untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir.
Persidangan itu kata Anwar sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza.
Kata Anwar, el-Sisi turut berharap agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza.
“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” kata Anwar.