Perkukuh perpaduan, tolak ekstremis : PM

18 OKT : Semangat perpaduan kaum di negara ini perlu diperkukuh dan orang ramai diseru menolak golongan ekstremis.
Seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu susulan kebimbangan terhadap perkembangan pelampau dan ekstremis menentang golongan minoriti di Eropah serta Amerika Syarikat (AS).
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengekalkan keunikan di sebalik kepelbagaian kaum dan agama selain tidak terpengaruh dengan sebarang naratif negatif.
“Biarpun orang luar pelik, tetapi inilah keunikan di Malaysia. Kita anggap ini sebagai perkara biasa. Inilah uniknya yang kita alami di negara ini.
“Jaga ini. Ini yang perlu kita perkukuh dan pertahankan, dari zaman dulu, (zaman) ibu bapa kita lagi.
“Kita melihat sambutan Hari Raya, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan Krismas sebagai sebahagian daripada budaya.
“Tidak rugi sedikitpun sebaliknya memberi banyak keuntungan kepada semua pihak,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika merasmikan sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI, hari ini.
Tidak menolak wujudnya perbezaan antara kaum dan agama di negara ini, Anwar menyeru semua pihak bersatu padu dan berusaha untuk memelihara serta mempertahankan perpaduan.
“Bukan mudah mahu mengemudi negara pelbagai kaum. Cakap lebih sikit (mengenai) Bumiputera nanti kaum Cina kata apa…sebut projek tambahan untuk masyarakat India, orang Melayu pula kata sudah dipinggirkan.
“Naratif ini dari kampung ke bandar dan Parlimen, semua dibangkitkan. Sebab ini rakyat perlu lebih pintar, cerdas dan terdedah kepada maklumat.
“Ini disebut pencerahan. Demokrasi tidak bermakna kalau tiada usaha memberi penerangan kerana tarikan kaum lebih kuat daripada alasan,” katanya.
