20 OKT : Mana-mana individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal dan penyakit berjangkit dilarang menunaikan ibadah haji, tahun hadapan.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan baharu itu bagi musim 1447H/2026M.
Menurut TH, susulan pengumuman kementerian tersebut, beberapa syarat perlu dikuatkuasakan dan perlu dipatuhi bakal jemaah haji bagi memperolehi visa haji.
“Syarat yang ditetapkan bagi bakal jemaah adalah bebas dari penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal serta berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
“Jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mempunyai keadaan atau penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, kegagalan jantung atau penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik, penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif, penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” menurut TH dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun.
“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di Tanah Suci.
“Atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah.
Menurut TH, setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya.
Namun TH tidak lagi dibenarkan untuk membuka pusat rawatan di Tanah Suci dan bagi mereka yang memerlukan rawatan lanjut, jemaah akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar-pakar perubatan KKM.
Selain itu, TH juga merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu.
“Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM.
“TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara. Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas”, kata Mustakim.