Isu Palestin, perdagangan akan dibincang dengan Trump

21 OKT : Malaysia akan membangkitkan soal hak rakyat Palestin dalam pertemuan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu ketika ditanya mesej yang akan diketengahkan dalam pertemuan itu, hujung bulan ini.
“Trump telah memainkan peranan besar dalam menghentikan sekurang-kurangnya pengeboman di Gaza.
“Namun, cabaran kini adalah untuk memastikan keamanan dan keadilan ditegakkan dan akhirnya kepentingan sah serta aspirasi rakyat Palestin diberikan hak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab ketika Forum Ilmu PNB 2025, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau juga akan berbincang soal hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan AS.
“Saya mahu menggunakan peluang ini bukan sahaja untuk mempertahankan kepentingan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi juga menyuarakan pandangan mengenai perkara yang baik untuk Malaysia, Amerika Syarikat dan dunia,” katanya lagi.
Terdahulu, Trump dilapor mengesahkan akan mengadakan lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan.
