Kerajaan tidak campur sebarang keputusan komersial

21 OKT : Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali campur tangan dengan sebarang keputusan komersial.
Penegasan itu sekali lagi disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendirian kerajaan itu bagi memastikan keputusan yang dibuat itu bebas dari pengaruh politik selain menjamin ketelusan dan profesionalisme dalam landskap korporat dan ekonomi Malaysia.
“Saya tidak campur tangan dalam keputusan komersial dan tidak seorang pun daripada rakan Kabinet saya yang sepatutnya campur tangan.
“Sudah tentunya kita menyokong teknologi baharu, inisiatif hijau dan program kebajikan, tetapi kita tidak campur tangan dalam melindungi kepentingan diri atau peribadi.
“Keputusan komersial adalah milik anda sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena Forum Ilmu PNB 2025, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata semua pihak perlu bersedia mendengar dan menerima pandangan baharu seiring perubahan zaman.
“Kita perlu rendah diri untuk mengakui bahawa kita tidak tahu semua perkara. Kita hidup dalam zaman pasca-normal yang penuh kekeliruan dan kerumitan sebab itu penting untuk mendengar pandangan pakar dan mencari idea serta dasar baru,” katanya.
