22 OKT : Kemajuan ketara berjaya dicapai dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi Negeri Sabah di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI di mana sebanyak 13 tuntutan utama diselesaikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini membuktikan kesungguhan kerajaan menunaikan janji kepada rakyat Sabah.
Katanya, komitmen kerajaan dizahirkan dengan pelaksanaan Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kontraktor minyak dan gas Sabah berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.
“Kerajaan Persekutuan turut bersetuju membenarkan Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum bagi menjana hasil tambahan sekitar RM2 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan berkait pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata sebanyak RM1.2 bilion disalurkan kepada Sabah bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik kekal terjamin.
Katanya, ia membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI yang dizahirkan melalui tindakan dan bukan sekadar komitmen atas kertas.
“Kerajaan MADANI bukan sahaja menghormati hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, tetapi juga berusaha memastikan pelaksanaannya memberi manfaat terus kepada rakyat negeri itu,” katanya.
Anwar juga yakin rundingan dan kerjasama erat Pusat dan negeri dapat menyelesaikan baki tuntutan MA63.