Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pasuk elit Maritim Malaysia melakukan serangan di Masjid Rusila, Marang pada 19 September lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata tuduhan itu bukan sahaja tidak berasas, malah berpotensi menjejaskan imej pasukan keselamatan serta moral operator pasukan elit negara.
Beliau juga menyifatkan dakwaan itu sebagai satu fitnah yang berniat jahat terhadap Maritim Malaysia.
“Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.
“Latihan yang dijalankan ketika itu hanyalah sebahagian daripada silibus latihan taktikal pasukan khas kami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Latihan yang dimaksudkan beliau adalah modul Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Ia merupakan latihan penting bagi membentuk daya tahan, disiplin dan kebijaksanaan anggota dalam berinteraksi dengan masyarakat ketika melaksanakan misi penyamaran.
“Masjid berkenaan hanya menjadi lokasi beriktikaf dan rehat para pelatih selepas menunaikan solat Asar sebelum menerima tugasan seterusnya.”
“Pihak masjid telah dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran pelatih dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar seperti didakwa, sebaliknya para pelatih hanya melaksanakan ibadah di dalam masjid tersebut.
Mengulas soal laporan polis yang timbul, Mohd Rosli berkata isu yang timbul berjaya diselesaikan dengan baik bersama pihak masjid selepas penjelasan dibuat.
“Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota maritim yang bukan sahaja cekap dan berani tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

*FOTO : FACEBOOK AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA