22 OKT : Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan.
Mengikut pertuduhan, pelajar dari sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama itu didakwa melakukan pembunuhan di bilik tandas perempuan sekolah tersebut antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Namun tiada pengakuan direkodkan susulan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Dalam kejadian 14 Oktober lalu, mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga itu ditemukan berlumuran darah di dalam tandas dipercayai akibat ditikam berulang kali oleh tertuduh.
Polis kemudiannya menahan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama dan merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian.
Laporan awal bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati punca kematian adalah akibat tikaman berulang pada bahagian dada dan leher.