23 OKT : Ahli Parlimen pembangkang diingatkan tidak menyebar maklumat tidak tepat di Dewan Rakyat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata platform Parlimen perlu digunakan secara penuh tanggungjawab.
Mengulas soal isu terbaharu, Saifuddin menyifatkan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim melampaui batas apabila menyamakan kes melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila, Marang dengan peristiwa Memali.
“Menjadi tanggungjawab supaya masyarakat terbanyak mendapat gambaran lebih tepat, versi sebenar berlaku dalam kejadian itu. Jadi platform Parlimen mesti digunakan secara penuh tanggungjawab dan kita pun mesti sedia untuk dipertanggungjawabkan.
“Terutamanya kalau ia diheret sehingga menyamakan dengan insiden Memali. Insiden itu kita sudah lupa seperti mana kita tak mahu lagi ajak rakyat bercakap pasal peristiwa 13 Mei, peristiwa Memali yang membabitkan kematian nyawa. Kita kena jaga perasaan ahli keluarga.
“Macam sekarang, seolah-olah ahli Parlimen mudah kaitkan seolah-olah kejadian enam anggota Maritim Malaysia singgah sembahyang Asar kemudian disamakan keadaan di sebuah kampung, yang sebelum itu sudah ada beberapa insiden sehingga membawa peristiwa itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan sambutan Hari Inovasi 2025 Kementerian Dalam Negeri, hari ini.
Saifuddin dalam ucapannya memaklumkan kes di masjid itu kerana salah faham dan sudah diselesaikan.
“Tindakan sudah dibuat termasuk libat urus antara pihak polis dan pihak masjid serta Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang). Kesimpulan hasil pertemuan itu, tiada perkara luar biasa, hanya sedikit salah faham dan kedua-dua pihak berpuas hati.
“Jadi tidak ada apa-apa. Berita pun tiada, akhbar pun tidak melaporkan apa-apa sehingga semalam apabila isu itu dibangkitkan. Maka, saya tampil beri penjelasan.
“Saya harap janganlah diperbesar-besarkan latihan pasukan elit itu dengan ucapan yang tidak menimbangkan fakta sebenar. Laporan polis sudah dibuat, pihak polis sudah menemui pengurusan masjid dan Ahli Parlimen Marang dan kes berakhir dengan baik,” katanya.
