23 OKT : Masjid Al-Aqsa berdepan risiko runtuhan susulan kerja penggalian agresif yang dijalankan rejim Zionis Israel di sekeliling dan di bawah kawasan Kota Lama.
Amaran itu dikeluarkan pihak berkuasa Baitulmaqdis melaluis atu kenyataan rasmi.
Pejabat Gabenor Baitulmaqdis memaklumkan kerja penggalian berterusan itu kini menimbulkan ancaman langsung terhadap struktur asas masjid serta bangunan bersejarah di sekitarnya.
Katanya, pihak berkuasa pendudukan Israel bersama kumpulan penempatan haram memperhebat aktiviti penggerudian bawah tanah khususnya berhampiran tembok selatan dan barat Masjid Al-Aqsa.
Gabenor juga memaklumkan kerja penggalian berterusan itu menyebabkan kemunculan rekahan dan keretakan serius pada banyak bangunan kediaman serta struktur bersejarah di sekitar Kota Lama.
Amaran itu menegaskan bahawa tindakan menggali dan mengeluarkan tanah secara besar-besaran telah melemahkan asas yang menyokong struktur Masjid Al-Aqsa, sekali gus meningkatkan kemungkinan berlakunya runtuhan mendadak yang boleh mengancam keselamatan para jemaah.