Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal catat sejarah baharu

23 OKT : Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung Ahad ini bakal mencatat beberapa sejarah baharu.
Ini termasuk dengan kehadiran pemimpin-pemimpin dunia serta penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persidangan kali ini juga menandakan kebangkitan semangat ASEAN.
“Sidang kali ini mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.
“Sidang kali ini juga amat bersejarah kerana ASEAN akan meraikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11, lambang keterangkuman dan semangat kekeluargaan rantau ini yang semakin utuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini selepas mengadakan taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa, malam tadi.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan kepusatan ASEAN dan memperkukuh perdagangan bebas.
Selain itu, katanya, Malaysia juga akan memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara negara-negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan.
“Malaysia turut menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.
“Kita juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya,” katanya.
Dalam sesi taklimat itu, Anwar dan ketua-ketua pengarang berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan kerajaan terhadap penganjuran kali ini yang bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN.
“Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” katanya.
