24 OKT : Tiada sebarang perubahan berkait garis panduan penyajian alkohol dalam penganjuran acara di dewan sekolah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Pertama, dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini dibincangkan mengenai isu sekolah dan penganjuran acara yang ada menyediakan, menyajikan minuman beralkohol.
“Jemaah menteri diingatkan dan memutuskan garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia.
“Mungkin di beberapa media ada perkara yang ingin ditanya tapi Kementerian Pendidikan (KPM) akan menerbitkan kenyataan susulan kepada sidang media ini dan saya minta rakan-rakan media untuk rujuk dengan Kementerian Pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan aktiviti pesta arak dalam kawasan sekolah menengah kebangsaan di Ipoh pada 27 September lalu.
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat menegaskan acara itu jelas melanggar peraturan biarpun diadakan di luar waktu persekolahan.
Tegasnya, dewan sekolah tidak sepatutnya digunakan bagi apa-apa acara yang melanggar peraturan.
Mengulas soal kenyataan yang menyatakan garis panduan itu tidak terpakai di sekolah jenis kebangsaan Cina, Fahmi menegaskan agar merujuk kenyataan susulan daripada KPM.
“Jemaah Menteri maklumkan bagi sesetengah sekolah jenis kebangsaan Cina ada yang mendapat bantuan penuh, ada yang beberapa fasiliti dibangunkan dan dijaga oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS), ataupun dibangunkan oleh pihak swasta.
“Jadi ada beberapa perkara yang terpakai khusus untuk sekolah-sekolah Cina. Tapi boleh rujuk dengan kenyataan daripada KPM sejurus selepas sidang media ini,” katanya.