25 OKT : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur hari ini melancarkan Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber sempena Majlis Penutupan Inter-Agency Retreat on Cyber Crimes 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan merentas sempadan.
Menurut kenyataan MCMC, pada 2024, purata kos ketirisan data di rantau ini dianggarkan melebihi AS$3 juta (kira-kira RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah AS$688.4 bilion (sekitar RM2.91 trilion) dengan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan.
“Di Malaysia, sejak tahun 2022, MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.
“Justeru, kursus yang dibangunkan ini merupakan inisiatif strategik antara MCMC dengan PDRM yang bertujuan mempertingkat keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan kursus itu merupakan kesinambungan kepada Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani pada 11 Mac 2024 untuk menumpukan kepada pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan.
Katanya, kerjasama dengan PDRM itu turut merangkumi Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025).
Menurut MCMC lagi, kursus yang akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan itu memberi fokus kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada agensi kerajaan dengan penglibatan kepakaran pelbagai agensi keselamatan jenayah siber di peringkat nasional.
“Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif terhadap ancaman siber di negara ini,” katanya.