25 OKT : Naib Ketua Pemuda PAS Johor, Muhammad Ariff Haron dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, hari ini.
Motosikal ditunggang Allahyarham terbabit kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Utara Selatan arah utara ketika dalam perjalanan ke program Permukiman Pemuda Pas Negeri Johor di Pagoh.
Allahyarham yang juga Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Johor itu dikatakan tidak sempat mengelak sebuah kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan.
Allahyarham sempat menghantar isteri dan tiga anaknya ke rumah mentua di Ulu Tiram dengan menaiki kereta sebelum menunggang motosikal seorang diri ke Pagoh.
Ketua Pemuda PAS Johor, Mohd Ridhwan Salamun menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah atas pemergian tersebut.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan merakamkan ucapan takziah atas pemergian ke rahmatullah Ustaz Muhammad Ariff Haron, Naib Ketua Pemuda DPPNJ yang telah kembali ke sisi Allah SWT.
“Sesungguhnya pemergian Almarhum merupakan satu kehilangan besar buat keluarga, sahabat perjuangan serta seluruh warga besar PAS Johor.
“Almarhum dikenali sebagai seorang yang komited, berjiwa dakwah dan sentiasa istiqamah dalam perjuangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.