KENYATAAN MEDIA
WISMA PUTRA
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober 2025.
Sidang-Sidang Kemuncak ini merangkumi Sidang Kemuncak ASEAN, Sidang-Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu di antara ASEAN dan tujuh (7) Rakan Dialog ASEAN, iaitu Australia, China, India, Jepun, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS), Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand menandakan 50 tahun ulangtahun hubungan dialog antara ASEAN dan New Zealand.
Malaysia juga akan menganjurkan Sidang Kemuncak Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.
Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan akan diadakan pada 26 Oktober 2025. Majlis ini akan dihadiri oleh semua Pemimpin ASEAN termasuk Presiden dan Perdana Menteri Timor-Leste, Tetamu-tetamu Pengerusi ASEAN, serta jemputan-jemputan lain.
Semasa Majlis Pembukaan tersebut, satu upacara Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN akan diadakan bagi menandakan keanggotaan negara tersebut sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11.
(1) Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, 26 Oktober 2025
YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang terdiri daripada Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman. Sesi Pleno akan melibatkan penyertaan Tetamu-tetamu Pengerusi ASEAN iaitu Perdana Menteri Kanada, Presiden Majlis Eropah, dan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Semasa Sesi Pleno, para Pemimpin ASEAN akan menumpukan perbincangan kepada isu-isu berkaitan pembangunan Komuniti ASEAN dan hubungan luar ASEAN. Antara lain, para Pemimpin akan membincangkan usaha-usaha untuk memperkukuh integrasi serantau, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan ketersambungan ASEAN. Bagi hubungan luar, para Pemimpin akan membincangkan usaha untuk memperkukuh perpaduan dan Kepusatan ASEAN, serta memperkasa komitmen ASEAN terhadap sistem multilateralisme berasaskan peraturan dalam landskap geostrategik global yang semakin mencabar.
Kanada dan Kesatuan Eropah juga akan berkongsi pandangan mereka mengenai usaha untuk terus mengukuhkan dan memperdalam hubungan dialog masing-masing dengan ASEAN. Sementara itu, IMF akan membuat pembentangan mengenai penilaian makroekonomi global terkini oleh IMF, implikasi dasar terhadap ASEAN, serta langkah-langkah untuk memperkukuh kerjasama antara IMF dan ASEAN. Semasa Sesi Pemukiman, para Pemimpin akan menilai pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar serta hala tuju dalam menangani krisis politik dan kemanusiaan di negara tersebut, di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
(ii) Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu, 26-28 Oktober 2025
Semasa Sidang-Sidang Kemuncak ini, para Pemimpin akan menilai perkembangan hubungan dialog ASEAN Campur Satu serta hala tuju masa depannya, di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa. Antara topik yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, daya tahan rantaian bekalan, pendigitalan, tenaga boleh diperbaharui, pertumbuhan hijau serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Tahun 2025 juga merupakan ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-New Zealand. Semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-New Zealand, para Pemimpin dijangka akan mengumumkan penubuhan Perkongsian Strategik Menyeluruh (Comprehensive Strategic Partnership-CSP) antara ASEAN dan New Zealand.
(iii) Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) ke-28, 27 Oktober 2025
Sidang Kemuncak yang melibatkan Pemimpin ASEAN, China, Jepun dan Republik Korea ini akan menilai status kemajuan yang telah dicapai di bawah rangka kerja kerjasama APT serta membincangkan hala tuju masa depannya. Para Pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
WISMA PUTRA www.kin.gov.my
SIARAN AKHBAR
172/2025
UNTUK SIARAN SERTA-MERTA
Sidang Kemuncak ini juga akan melibatkan pembentangan oleh Tetamu Pengerusi, iaitu Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) dan Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) mengenai tinjauan makroekonomi dan kewangan serantau serta pertumbuhan ekonomi serantau.
(iv) Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20, 27 Oktober 2025
Sidang Kemuncak ini akan melibatkan kesemua 19 Negara Peserta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS). Sidang ini akan menilai kemajuan kerjasama EAS dengan memberi tumpuan kepada isu-isu strategik, politik dan ekonomi, demi mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau di Asia Timur.
Sidang Kemuncak ini juga akan dihadiri oleh Tetamu Pengerusi ASEAN, iaitu Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan, masing-masing selaku Pengerusi BRICS dan G20.
Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, Malaysia akan turut menganjurkan Sidang Kemuncak RCEP ke-5 pada 27 Oktober 2025 dan Mesyuarat Pemimpin AZEC ke-3 pada 28 Oktober 2025.
Kesemua Sidang Kemuncak ini akan didahului dengan pelbagai mesyuarat di peringkat Menteri Luar, Menteri Ekonomi serta Pegawai Kanan yang berlangsung dari 22 hingga 28 Oktober 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan ini mencerminkan tekad dan iltizam berterusan Malaysia dalam memperkukuh agenda integrasi ASEAN serta memajukan visi bersama bagi keamanan dan kemakmuran.
Sidang-Sidang Kemuncak ini juga merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, sebelum Filipina mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN mulai 1 Januari 2026. Majlis penyerahan rasmi Kepengerusian ASEAN daripada Malaysia kepada Filipina akan diadakan pada 28 Oktober 2025.
WISMA PUTRA