Thailand-Kemboja: PM Anwar mainkan peranan penting : Trump
26 OKT : Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji peranan yang dimainkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand yang dimetrai, hari ini.
Trump berkata beliau terpanggil untuk melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 selepas ketokohan dipamer Anwar dalam menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin (Thailand dan Kemboja) amat menghormati antara satu sama lain namun Perdana Menteri (Anwar) memainkan peranan penting dalam membantu mempertemukan kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan di Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Dalam ucapan sama, Trump yang tiba di Malaysia pagi tadi menegaskan pentadbirannya akan terus menjadi rakan kukuh kepada ASEAN dan negara anggota merupakan rakan kongsi paling penting bagi AS.
“Pesanan kami kepada negara-negara Asia Tenggara adalah bahawa AS bersama anda 100 peratus dan kami berhasrat untuk terus menjadi rakan yang kuat untuk banyak generasi akan datang,” katanya.
Justeru itu katanya, kehadiran beliau dan delegasi di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 ini bagi memperkukuh hubungan AS dengan ASEAN.
“Di seluruh dunia, mereka memandang tinggi kepada anda. Saya berada di sini dengan misi persahabatan dan niat baik, iaitu untuk memperdalam hubungan perdagangan kita, memperkukuh keselamatan bersama serta benar-benar memajukan kestabilan, kemakmuran dan keamanan bagi semua negara, jauh melangkaui sempadannya.
“Itulah sebabnya saya berasa amat gembira kerana selain perjanjian dengan Malaysia pada minggu ini, kami juga sedang menandatangani atau hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan banyak rakan Indo Pasifik yang lain, dari Kemboja hingga Jepun dan Korea Selatan.
“Kami berbesar hati untuk membentuk kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang tenaga, teknologi, kecerdasan buatan (AI), mineral kritikal dan industri lain,” katanya.

*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA