27 OKT : Jabatan Perdana Menteri (PMO) menegaskan dokumen tular berkait perintah larangan penggunaan telefon pintar di bawah umur 16 tahun adalah palsu.
Melalui satu kenyataan di Facebook, hari ini PMO menjelaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkait perkara tersebut.
“PMO ingin menegaskan dokumen bertajuk Perintah Larangan Penggunaan Telefon Pintar Bagi Individu Di Bawah Umur 16 tahun yang sedang tular di aplikasi WhatsApp adalah palsu.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab serta memastikan kesahihan maklumat sebelum dikongsikan kepada pengguna lain untuk mengelak sebarang kekeliruan,” menurut PMO dalam kenyataan itu.
Orang ramai diingatkan bahawa penyebaran berita atau maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dokumen palsu bertarikh 20 Oktober itu mendakwa larangan berkenaan berkuat kuasa 1 Januari 2026.