Malaysia serah kepengerusian ASEAN kepada Filipina
28 OKT : Malaysia secara rasminya menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 melabuhkan tirainya, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr diberikan kekuatan untuk memimpin sebagai Pengerusi ASEAN yang seterusnya dalam terus mengangkat suara ASEAN sebagai sebuah ketumbukan serantau yang kekal berpadu dan aman.
“Alhamdulillah, akhirnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dinakhodai Malaysia telah melabuh tabir.
“Ia juga menjadi mercu bahawa kepemimpinan ASEAN 2025 kini berpindah dari Malaysia ke Republik Filipina untuk tahun seterusnya,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, malam ini.
Dalam kenyataan sama, Anwar menzahirkan rasa terharu saat mengumumkan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11.
“Saya terharu saat mengumumkan secara rasmi kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN. Ini kerana saya menginsafi serta menggarap sejarah dan derita Timor-Leste di masa lalu.
“Dari sudut hati yang terdalam, saya ucap tahniah setingginya kepada Timor-Leste dan seluruh rakyatnya atas kejayaan besar ini,” katanya.
Anwar menegaskan, di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN merangkul beberapa kekuatan dan semangat baharu dari Tamu Pengerusi ASEAN iaitu Brazil dari benua Amerika Selatan dan Afrika Selatan dari benua Afrika selain merupakan pendiri BRICS.
“Tidak dilupakan Rakan Dialog ASEAN yakni Kanada, Persekutuan Rusia, Kesatuan Eropah, Republik Rakyat China, Republik India, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Amerika Syarikat yang turut sama berbicara, melontar pendirian serta pandangan dalam membentuk sebuah dunia yang berupaya mempasak harapan dan mengangkat kemakmuran ekonomi ke tingkat yang lebih bermaruah,” katanya.
Beliau sempat menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersabar tatkala negara berusaha menyemarak kerjasama dan mencipta kerjasama baharu.
“Kalian menyambut barisan tamu negara dengan kemesraan, cemerlang dan mengangkat hospitaliti Malaysia ke tahap tertinggi demi negara. Pasukan penjawat awam dan keselamatan juga berusaha secara sederap menjamin keselamatan yang kemas dan mantap.
“Tidak dilupakan yang menekuni perjalanan persidangan dalam usaha kita meletakkan diplomasi Malaysia ke tahap yang lebih baik dan membanggakan. Terima kasih semua. Rakyat Malaysia hebat!,” katanya.
