29 OKT : Kerajaan menafikan dakwaan kononnya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimetrai dengan Amerika Syarikat mengadai kedaulatan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata klausa yang dipetik pembangkang tidak lengkap.
Justeru itu, beliau mengingatkan pihak terbabit untuk meneliti perjanjian tersebut secara menyeluruh.
“Kalau baca perjanjian, kita kena baca penuh, jangan baca sekerat. Klausa yang dipetik ialah Klausa 5.1. Apa kandungan klausa 5.1? Dia cuma petik ayat pertama dan sebahagian ayat kedua.
“Kononnya kalau Amerika Syarikat (AS) kenakan sekatan kepada mana-mana negara, Malaysia ini automatik kena ikut. Jom, kita baca sama-sama Klausa ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tengku Zafrul membaca klausa yang disebut-sebut itu.
“Selepas menerima notifikasi sedemikian daripada AS, Malaysia hendaklah mengguna pakai atau mengekalkan satu langkah yang mempunyai kesan sekatan yang setara dengan langkah yang diambil oleh AS atau bersetuju dengan satu garis masa pelaksanaan yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak bagi menangani kebimbangan bersama berkaitan ekonomi atau keselamatan negara,” katanya.
Jelasnya, sekatan yang dimaksudkan adalah bagi menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama.
“Saya ulang frasa terakhir, untuk menangani masalah ekonomi berkongsi atau keselamatan negara. Apa maksudnya? Maksudnya, sekatan ini perlu untuk menangani isu keselamatan negara dan ekonomi bersama.
“Kata kunci di sini, bersama. Maksudnya, kalau isu tersebut hanya memberi kesan kepada keselamatan negara dan ekonomi AS tetapi tidak memberi impak kepada keselamatan negara dan ekonomi Malaysia, kita tidak perlu pertimbangkan,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa ART yang ditandatangani Malaysia bukanlah satu bentuk timbal balik seperti yang digambarkan namun satu bentuk penyerahan terhadap AS.