KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan fasa pertama Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) mulai 31 Oktober 2025 melibatkan 10 buah syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Malaysia Airlines (MAS), VietJet Air (Vietnam), Emirates (UAE), Scoot (Singapura) dan US-Bangla Airlines (Bangladesh).
Melalui APSS, maklumat penumpang akan disemak sebelum ketibaan mereka di pintu masuk negara. Pendekatan ini membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti potensi risiko keselamatan lebih awal serta mengambil tindakan sewajarnya secara proaktif, sekali gus memperkukuh aspek pencegahan.
Pelaksanaan fasa pertama ini membolehkan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menilai keberkesanan operasi bersama dengan syarikat penerbangan terlibat sebelum diperluas kepada semua syarikat penerbangan antarabangsa pada Mac 2026. Jadual pelaksanaannya turut dipercepat dari bulan Disember ke Oktober 2025 bagi memastikan pematuhan Malaysia kepada Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) serta piawaian keselamatan global bawah Universal Security Audit Programme – Continuous Monitoring Approach (USAP-CMA) oleh International Civil Aviation Organization (ICAO).
YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri menjelaskan bahawa pelaksanaan APSS mencerminkan kesungguhan KDN untuk memperkukuh keselamatan negara melalui penggunaan data dan teknologi. Sistem ini merupakan sebahagian daripada reformasi kawalan imigresen yang membolehkan pengesanan awal individu berisiko tinggi sebelum ketibaan mereka di Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan awal APSS menunjukkan komitmen Kerajaan Madani tentang keselamatan rakyat serta kesiapsiagaan negara menghadapi cabaran keselamatan serantau dan global. Pendekatan berasaskan teknologi ini turut memperkukuh daya tahan negara dan memperkukuh imej Malaysia sebagai hab penerbangan serta pelancongan yang selamat dan moden.
APSS merupakan inisiatif bawah Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe), dan pelaksanaan fasa pertama ini dikhususkan untuk penerbangan antarabangsa dengan tujuan untuk menyaring serta menilai maklumat pengembara lebih awal bagi memperkukuh kawalan keselamatan sempadan negara.
KDN yakin bahawa pelaksanaan APSS ini akan menjadi pemacu reformasi dalam usaha pendigitalan kawalan imigresen negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra rakyat.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI