30 OKT : China dilaporkan bersetuju memulakan pembelian tenaga dari Amerika Syarikat (AS).
Keputusan itu diumum Presiden AS, Donald Trump hari ini selepas mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan Presiden China, Xi Jinping.
Trump dan Jinping bertemu pada sela-sela Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Busan, Korea Selatan.
Trump berkata kemungkinan pembelian minyak dan gas oleh China itu dalam kuantiti yang sangat besar dari Alaska.
“(Setiausaha Tenaga AS) Chris Wright, (Setiausaha Dalam Negeri AS) Doug Burgum dan pasukan tenaga masing-masing akan bermesyuarat untuk melihat sama ada perjanjian tenaga seperti itu dapat dimuktamadkan,” kata Trump melalui akaun Truth Social, hari ini.
Selain itu, katanya, Jinping turut memberi kebenaran kepada China untuk memulakan pembelian kacang soya, sorgum dan produk pertanian lain dalam jumlah yang besar.
“Petani kita pasti akan sangat gembira! Malah, seperti yang saya pernah katakan sebelum ini ketika pentadbiran pertama saya, para petani harus segera keluar dan membeli lebih banyak tanah serta traktor yang lebih besar. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Xi atas perkara ini!
“Selain itu, China telah bersetuju untuk meneruskan bekalan nadir bumi, mineral kritikal, magnet dan lain-lain secara terbuka dan bebas.
“Lebih penting lagi, China dengan tegas menyatakan bahawa mereka akan bekerjasama bersungguh-sungguh dengan kami untuk menghentikan pengaliran fentanyl ke negara kami. Mereka akan membantu kami menamatkan krisis fentanyl,” katanya.