APEC jambatan perluas hubungan dengan Amerika Latin, Afrika
 
						
													31 OKT : Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) harus menjadi jambatan bukan sahaja bagi ekonomi Asia Pasifik tetapi juga dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian selepas menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, Republik Korea, hari ini.
“Ini bagi menuju sebuah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Global North dan Global South),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Anwar, usai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, keyakinan beliau semakin teguh bahawa dialog dan kerjasama serantau bukan sekadar wajar sebaliknya suatu keperluan mendesak.
“Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja menjadi peringatan bahawa keamanan dan kemakmuran tidak akan kekal tanpa kepercayaan, kesabaran dan rundingan berterusan.
“Prinsip yang sama harus diangkat dalam konteks Gaza dan Ukraine bahawa penyelesaian berasaskan dialog, bukan kekerasan, adalah satu-satunya jalan menuju keamanan yang hakiki,” katanya.
Menurut Anwar, APEC terbukti sebagai pelopor yang memacu semangat keterbukaan, menggalas tanggungjawab moral dan memperkenalkan norma ekonomi global berasaskan kerjasama sukarela, bukan paksaan.
“Kini, APEC sedang memupuk idea baharu yang menyentuh cabaran masa depan: pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan keterangkuman teknologi, rantaian bekalan yang berdaya tahan, serta peralihan tenaga bersih dan keselamatan makanan.
“Semua ini seiring dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang membina ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan mampan demi manfaat seluruh rakyat,” katanya.
Tambahnya, kerjasama sejati menuntut penyertaan menyeluruh antara kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat, bukan untuk berkongsi kuasa tetapi berkongsi tujuan.

 
			