Kritikan terhadap perjanjian dengan AS bersifat politik : PM
 
						
													31 OKT : Kritikan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan susulan pemetraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat disifatkan tidak berasas sama sekali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuduhan kononnya kerajaan menggadai kedaulatan negara kepada AS itu bersifat politik semata-mata.
Tegasnya, perjanjian itu ditandatangani atas kepentingan pelaburan dan perdagangan negara dan bukannya kerana tunduk kepada mana-mana kuasa besar.
“Kalau betul kita hanya bagi monopoli sepenuhnya kepada Amerika Syarikat, bagaimana boleh kita tandatangani FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan negara China?
“Bagaimana hari ini kita boleh bincang dengan JS Link…dengan Lynas, isu nadir bumi oleh syarikat Korea Selatan?
“Saya fikir teras kerja kita adalah untuk memastikan Malaysia berjaya. Kita memerlukan pelaburan, kita memerlukan teknologi tinggi, kita memerlukan AI.
“Tidak kira sama ada dengan firma Amerika atau firma China atau firma Korea kita perlu bersedia dan memastikan generasi muda kita mendapat manfaat daripadanya dan kita mempunyai kapasiti untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang sangat berjaya,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di Gyeongju, Korea Selatan, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata perjanjian dimetrai dengan AS itu mengandungi klausa keselamatan dan kepentingan nasional yang membolehkan Malaysia membuat keputusan berdasar undang-undang dan kepentingan sendiri.
“Perjanjian-perjanjian ini bukan satu-satu di dunia. Semua negara ada rundingan dan ada ‘give and take’. Tapi kita jaga maruah kita,” katanya.
Pemetraian perjanjian ART itu dicapai ketika kunjungan sulung Presiden AS, Donald Trump ke Malysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, baru-baru ini.

 
			