31 OKT : Lori membawa muatan batu kerikil melebihi 70 peratus had dibenarkan disahkan penyebab kemalangan yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Kementerian Pengangkutan melalui Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan perkara itu.
Selain itu, kelemahan kawalan operasi dan ketiadaan ciri keselamatan asas pada lori ‘tipper’ itu juga menjadi punca kemalangan maut tersebut.
Menurut laporan itu, pasukan siasatan mendapati penguatkuasaan yang terhad mewujudkan persekitaran risiko tinggi sehingga mengakibatkan kejadian itu.
Ketika kejadian, lori ‘tipper’ itu didapati membawa muatan batu kerikil dengan Berat Dengan Muatan (BDM) sehingga 40,960 kg, iaitu 70.67 peratus melebihi had dibenarkan pada kadar 24,000 kg.
Laporan 156 halaman itu memaklumkan, lori FRU itu berada dalam kedudukan kelima daripada convoi tujuh kenderaan iaitu empat lori, dua kenderaan utiliti sukan (SUV) dan bas yang dalam perjalanan ke Ipoh, manakala lori ‘tipper’ itu dari arah bertentangan menuju ke Teluk Intan.
“Lori ‘tipper’ memasuki laluan bertentangan iaitu laluan yang sedang dilalui oleh konvoi FRU dan bertembung dengan lori FRU.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua lori terbalik ke sisi kiri masing-masing dan berada dalam kedudukan akhir dalam keadaan mengiring,” menurut laporan itu.
Pasukan petugas khas juga mendapati lebihan muatan itu secara langsung menjejaskan prestasi pemanduan kenderaan berkenaan.
“Ia berikutan pengurusan tenaga kinetik kenderaan adalah kritikal dalam keselamatan jalan raya kerana meningkatkan tenaga menjadikan daya impak semasa perlanggaran jauh lebih besar, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan serius atau maut kepada pemandu dan penumpang.
“Sebagai contoh, lori dengan BDM 24,000 kg pada kelajuan 30 km/j menghasilkan tenaga kinetik sekitar 833 kJ, manakala lori BDM 40,960 kg pada kelajuan sama menghasilkan 1,422 kJ, hampir dua kali ganda.
“Selain itu, keadaan lebih muatan turut memberi kesan langsung terhadap keupayaan membrek dan kestabilan kenderaan, terutamanya apabila pemandu berdepan dengan situasi kecemasan,” menurut laporan itu.
Laporan itu menyebut tiada kegagalan mekanikal dikesan pada sistem brek atau stereng lori ‘tipper’.
“Kerosakan yang berlaku konsisten dengan impak akibat muatan berlebihan dan ‘manuver’ kecemasan ketika pemandu cuba mengelak kenderaan di hadapan,” menurut laporan itu lagi.
Sementara pemandu lori tersebut disahkan mempunyai 14 rekod kesalahan lalu lintas serta tidak pernah menghadiri latihan keselamatan formal.

 
			 
				