1 NOV : Lebih 13 juta rakyat menikmati penjimatan sebanyak RM800 juta pada bulan pertama pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata kelulusan diberi kepada 16.55 juta rakyat Malaysia untuk menerima manfaat RON95 dengan harga subsidi pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
“Sehingga 31 Oktober 2025, seramai 13.1 juta rakyat telah melakukan transaksi BUDI95 dengan membelanjakan sebanyak RM2.66 bilion pada bulan pertama pelaksanaan BUDI95.
“Ini termasuk lebih 23,000 nelayan dan pengguna bot berdaftar yang tidak memiliki lesen memandu aktif, terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Jumlah transaksi ini melibatkan pembelian sebanyak 1.33 bilion liter RON95 bersubsidi. Daripada jumlah tersebut, Kerajaan MADANI menyalurkan subsidi sekitar RM800 juta bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat,” menurut MoF.
Sementara Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata inisiatif BUDI95 memastikan rakyat menerima subsidi secara langsung tanpa proses yang rumit serta membolehkan kerajaan menyalur semula penjimatan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Jelas sekali program ini memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MoF berkata semua pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak untuk membeli RON95 bersubsidi sehingga 300 liter sebulan.
“Sejak 13 Oktober 2025, Kerajaan MADANI telah menaikkan had siling kelayakan bulanan RON95 bagi pemandu e-hailing sepenuh masa, yang digandakan kepada 600 liter sebulan dan memanfaatkan hampir 58,000 pemandu e-hailing.
“Secara purata, penerima BUDI95 di bawah kategori persendirian mencatat penggunaan sebanyak 98.2 liter sebulan untuk bulan Oktober 2025 jauh lebih rendah daripada had kelayakan bulanan 300 liter yang ditetapkan,” menurut kementerian itu lagi.
Kementerian Kewangan berkata setakat 26 Oktober lalu, hanya kurang daripada 0.7% penerima BUDI95 menggunakan sepenuhnya kelayakan bulanan mereka sebelum akhir bulan.
Selain itu, MoF juga mengenal pasti beberapa corak penggunaan luar biasa termasuk penerima yang menghabiskan keseluruhan had bulanan dalam tempoh singkat dan berulang kali membeli petrol di stesen berhampiran sempadan negara.
“Kerajaan MADANI melalui MoF dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuh pemantauan di stesen minyak serta dalam kalangan pengguna bagi memastikan manfaat BUDI95 tidak diselewengkan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penyelewengan atau penjualan semula petrol bersubsidi kepada pihak yang tidak berkelayakan.
“Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan diambil terhadap pihak terlibat,” katanya.