1 NOV : Khabar angin yang menyebut penyertaan semula bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin ke Barisan Nasional (BN) ditanggapi secara terbuka.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan itu terletak pada parti masing-masing dan individu berkenaan.
“Saya belum berhubung dengan beliau, biar saya telefon dia nanti saya cuba hubungi. Saya belum dapat apa-apa kepastian.
“Itu pilihan individu dan terpulang kepada parti masing-masing untuk menerima atau pun tidak. Jadi kita ikut prosesnya,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media Hari Kurier Negara 2025 di Shah Alam, hari ini.
Pengarah Komunikasi PKR itu berkata keutaamaan kerajaan ketika ini tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi negara serta menarik pelaburan asing selaras komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Seperti Perdana Menteri sebut di Parlimen, kita bertungkus lumus untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama bagi negara-negara besar.
“Inilah fokus dan tugas utama kerajaan Malaysia pada waktu ini,” katanya.
Selain itu katanya, aspek tadbir urus negara juga sedang diperkukuh di samping mempertingkat usaha membanteras rasuah dan memastikan imej negara terus harum di peringkat antarabangsa.
Media sebelum ini melaporkan Khairy dijangka menyertai semula UMNO-BN sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada hujung bulan ini.