3 NOV : Sejak Januari 2022, sebanyak 1,456 kandungan jelik membabitkan kanak-kanak dan 2,535 kandungan lucah diturunkan penyedia platform hasil tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia, MCMC mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan kandungan berunsur mudarat dapat dikawal sekali gus melindungi golongan rentan khususnya remaja dan kanak-kanak.
“Bagi mewujudkan ekosistem rangkaian Internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna terutama buat kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan, MCMC melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.
“(Di mana mereka) yang memenuhi keperluan pelesenan (perlu) memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi atau ASP(C) di bawah Akta 588 bermula 1 Januari 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata sebanyak 4,070 laman sesawang lucah disekat melalui permohonan kepada penyedia platform terbabit.
Menurut Fahmi, bagi kesalahan penyebaran kandungan lucah termasuk yang bersifat komersial hukuman denda boleh dikenakan sehingga RM1 juta atau penjara lima tahun.
Selain itu katanya, MCMC turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.