ART: Malaysia boleh tamatkan perjanjian tanpa persetujuan AS
						
													3 NOV : Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimetrai dengan Amerika Syarikat (AS), 26 Oktober lalu.
Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata penamatan itu boleh dibuat tanpa persetujuan AS.
“Malaysia juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian ini pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis kepada AS tanpa perlu mendapatkan persetujuan AS berdasarkan Artikel 7.5 ART.
“Semua perlindungan ini bertujuan untuk mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa,” menurut AGC dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut AGC, ART ialah perjanjian yang memperuntukkan liberalisasi barangan, perkhidmatan dan pelaburan yang mengandungi tujuh seksyen dan empat lampiran.
“ART merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif yang dikenakan ke atas Malaysia daripada 25% di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025, kepada 19%.
“ART ialah platform dua hala antara Malaysia dengan AS dalam menyelesaikan isu perdagangan antara kedua-dua negara terutamanya isu pengurangan tarif,” menurut AGC.
Jabatan itu memaklumkan Artikel 7.2 ART memperuntukkan perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan tatacara perundangan domestik berkaitan sudah selesai dilaksanakan.
“Walau apa pun, berdasarkan Artikel 7.1 ART, Malaysia dan AS sebagai negara ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak serta kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah Perjanjian WTO yang menetapkan piawaian bagi perdagangan antarabangsa,” menurut AGC.
Perjanjian yang dimetrai sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur itu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang menyifatkannya boleh menjejaskan kedaulatan negara dan menggadai negara.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuduhan dilemparkan suatu pembohongan yang bersifat politik semata-mata.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA