3 NOV : Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap tragedi yang melanda Sudan dan menyeru agar keganasan di sana dihentikan serta-merta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekejaman yang dilaporkan berlaku di El Fasher dan Darfur itu sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Saya amat bimbang dengan tragedi yang sedang berlaku di El Fasher dan seluruh Darfur, Sudan. Apa yang sedang kita saksikan ialah satu bencana kemanusiaan di mana pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan penduduk dalam skala yang menggegarkan hati nurani.
“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin boleh dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, malah pembersihan etnik itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Malaysia menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan supaya orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Anwar menegaskan rakyat negara ini berdiri teguh bersama rakyat Sudan yang menderita.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk mengelakkan penderitaan selanjutnya, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses yang berwibawa ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Antarabangsa bagi Perpindahan (IOM) memaklumkan sebanyak 1,205 orang dipindahkan dari bandar Bara dan Umm Ruwaba di negeri Kordofan Utara manakala 360 lagi melarikan diri dari Al-Abbasiya dan Delami di Kordofan Selatan akibat keadaan keselamatan yang semakin memburuk.
Sejak 15 April 2023, tentera Sudan dan Pasukan Separuh Tentera Rapid Support Forces (RSF) terlibat dalam peperangan yang gagal ditamatkan melalui pelbagai usaha perdamaian serantau dan antarabangsa.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), konflik itu sudah meragut 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 15 juta orang menjadi pelarian serta mangsa perpindahan dalaman.
*FOTO : REUTERS