4 NOV : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberi sambutan negara di Istana Yamamah, Riyadh sempena lawatan negara baginda ke Arab Saudi, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan Saudi (6.30 petang waktu Malaysia) disambut penuh mesra Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Pada majlis tersebut, lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Arab Saudi dimainkan sebagai tanda penghormatan sebelum baginda dengan diiringi Putera Mahkota berjalan masuk ke istana melintasi kawalan kehormatan.
Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed bin Salman bermula usai istiadat sambutan negara itu.
Mengiringi baginda dalam lawatan itu adalah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj.
Putera Mohammed turut menghoskan majlis santapan negara bersama baginda dan tetamu-tetamu kehormat.
Sultan Ibrahim bertitah dalam pertemuan itu baginda berkongsi beberapa pandangan tentang pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.
“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.
“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.
“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Baginda turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, sebuah usaha membangunkan negara Tanah Suci itu ke tahap yang lebih baik dengan kepelbagaian ekonomi, pemerkasaan rakyat serta penyediaan persekitaran yang rancak buat pelabur.
