4 NOV : Tiada sebarang peruntukan yang bercanggah dengan semangat atau peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimetrai dengan Amerika Syarikat (AS) bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang perjanjian kerajaan diteliti Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan ia selaras dengan undang-undang Malaysia.
“Keputusan perbincangan kita dalam jemaah menteri juga kemudiannya kita ubah suai setelah mendapat input daripada Jabatan Peguam Negara. Itu cara kita kerja, malah dalam yang akhir sekali pun, ulasan Peguam Negara itu diperlukan.
“Ya kepala (ketua) rundingan itu MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) tetapi apabila bincang soal halal, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) masuk…bincang soal import, Kementerian Pertanian masuk namun keseluruhannya skop undang-undangnya, Jabatan Peguam Negara yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada perjanjian timbal balas itu mendapat ulasan daripada AGC.