5 NOV : Zohran Mamdani dipilih sebagai Datuk Bandar New York ke-111 yang baharu sekali gus Muslim pertama yang menerajui kota terbesar Amerika Syarikat (AS) itu.
Ahli politik muda progresif berusia 34 tahun itu menewaskan bekas gabenor, Andrew Cuomo yang mendapat sokongan terbuka Presiden AS, Donald Trump dan calon parti Republikan, Curtis Sliwa.
Kurang dikenali sebelum ini, Mamdani menarik perhatian ramai melalui mesej-mesejnya yang menumpu kepada isu kemampuan hidup serta keadilan sosial.
Kempennya menyentuh tentang membeku kadar sewa unit terkawal, membina lebih banyak perumahan mampu milik, menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam, menjadikan pengangkutan awam percuma dan menaikkan cukai golongan kaya.
Kempen Mamdani yang dibiayai sebahagian besar melalui derma kecil dan tenaga sukarelawan itu mendapat momentum besar hasil kehadiran aktif di media sosial serta gaya berkempen santai dengan berjalan kaki menemui penduduk di jalanan.
Mamdani yang berketurunan India dilahirkan di Uganda dan menetap di AS sejak berusia tujuh tahun sebelum menjadi warganegara pada 2018.
Beliau adalah anak kepada pengarah filem terkenal Mira Nair dan bapanya seorang profesor serta pakar di Universiti Columbia, Mahmood Mamdani.
Mamdani mendapat pendidikan di Bronx High School of Science sebelum melanjutkan pengajian ke Bowdoin College di Maine.