6 NOV : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Bahrain bagi lawatan negara kedua selepas selesai lawatan ke Arab Saudi, hari ini.
Menurut kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan negara ke Bahrain itu bagi memenuhi titah jemputan Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa.
Lawatan negara itu juga julung kali diadakan sejak terjalinnya hubungan diplomatik bersama Malaysia pada tahun 1974.
Turut berangkat ke Bahrain mengiringi baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Sultan Ibrahim menzahirkan kesyukuran kerana lawatan negara ke Arab Saudi berjalan lancar dan berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi kerana menerima keberangkatan baginda serta memberi layanan yang cukup baik.
“Saya amat menghargai perbualan mesra bersama Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud (Perdana Menteri Arab Saudi) yang penuh bermakna dan menegaskan hasrat untuk terus mengukuhkan kejayaan yang telah dicapai bersama selama ini.
“Pengetahuan, semangat dan visi Putera Mohammed dalam mentransformasikan Arab Saudi di bawah Visi 2030 cukup menginspirasikan saya.
“Saya berharap hubungan kedua-dua negara kita akan terus kukuh dalam segala aspek, isnya-Allah,” titah baginda.