6 NOV : Syarikat bas yang terbabit kemalangan hingga meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disabitkan bersalah kerana berurusniaga dengan pihak tidak berlesen.
Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan keputusan itu diputuskan Mahkamah Majistret Gerik, Perak pada 3 November lalu.
“Mahkamah mensabitkan Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. (No. Syarikat: 806799-V) atas dua pertuduhan di bawah Peraturan 6(1)(f) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992 [P.U.(A) 333/1992] kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan pihak tidak berlesen.
“Syarikat tersebut mengaku bersalah atas kesalahan menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewa permit kenderaan berkenaan kepada Noreen Maju Trading (No. Pendaftaran Perniagaan: 202003054997), sebuah entiti yang menjalankan perniagaan pengendalian pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482],” menurut MOTAC dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian 9 Jun lalu, bas yang dikendalikan Noreen Maju Trading membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pulang ke kampus Tanjung Malim terlibat kemalangan maut di Gerik hingga meragut 15 nyawa.
Susulan itu, Hakim Mahkamah Majistret, Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000.
Kegagalan membayar denda boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zulaikha Mahadi bersama Pegawai Pendakwa MOTAC, Nurul Hidayah Aman.
Dalam pada itu, MOTAC menegaskan pelanggaran Akta 482 dan peraturannya merupakan kesalahan jenayah serius.
“MOTAC komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengancam keselamatan dan integriti industri pelancongan negara,” katanya.