Perlu lahir bakat tempatan untuk pembangunan industri semikonduktor
6 NOV : Pembangunan industri semikonduktor di Malaysia bergantung kepada keupayaan melahirkan bakat-bakat tempatan yang berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan pelabur.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata yang paling mencabar adalah mewujudkan kumpulan bakat tempatan itu sendiri.
“Yang paling mencabar adalah talent pool (kumpulan bakat). Apa makna ada prasarana, dasar yang baik, kemudahan dan insentif tetapi semua tenaga kerja datang dari luar.
“Dalam dunia global ini kita memanfaatkan semua, tetapi kita mahu kekuatan dalaman,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap projek berkaitan perlu dilaksanakan dengan cekap dan penyediaan prasarana yang pantas untuk menarik lebih banyak pelaburan asing berkualiti tinggi.
“Demi kepentingan sebahagian pelabur lain, kita boleh menyediakan infrastruktur yang mencukupi dan menyediakan insentif yang boleh menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik.
“Tetapi kita juga memerlukan kumpulan bakat yang lengkap dan terlatih untuk melindungi kepentingan negara,” kata beliau.
Sementara itu, Anwar berkata di peringkat universiti, kurikulum akademik perlu dipastikan bersesuaian dengan kehendak industri semasa agar graduan yang dilahirkan memenuhi keperluan pasaran kerja.
“Malah dalam kurikulum universiti, kita perlu mempunyai sinergi antara industri dan universiti kerana industrilah yang akan menentukan dan memutuskan jenis profesional dan kakitangan yang mereka mahukan,” katanya.
