6 NOV : Tiada sebarang pertembungan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung bulan ini.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan pembahagian kerusi antarakedua-dua gabungan sudah dimuktamadkan.
Menurutnya, rundingan kerusi PH dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga hampir selesai sepenuhnya kecuali membabitkan satu kerusi yang masih dalam pertimbangan kedua-dua pihak.
“Kami masih ada masa sebelum tarikh penamaan calon pada 15 November ini dan saya yakin ia boleh diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani, hari ini.
PRN Sabah ke-17 ditetapkan berlangsung pada 29 November ini dengan penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal 25 November.
