Program patriotik berkesan, semangat cinta negara makin kukuh
6 NOV : Penganjuran program kenegaraan dan patriotik membuahkan hasil apabila berjaya memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata hasil program itu ditunjukkan melalui dapatan kajian dijalankan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terhadap 5,044 responden pelbagai kaum, umur dan latar belakang di mana kebekesanannya mencecah 91 peratus atau 4.55 pada Skala Likert.
“Keseluruhan analisis yang dilaksanakan menunjukkan program-program yang dianjurkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sahaja berjaya meningkatkan kesedaran kenegaraan dan semangat patriotisme malah menyemai rasa bangga serta sayang kepada tanah air merentasi pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) berkait sejauh mana keberkesanan program Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dalam meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama.

Menurut Fahmi, sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos lalu berjaya menarik kehadiran lebih 100,000 pengunjung termasuk mereka yang sanggup datang awal dengan berkhemah dan bermalam di sekitar kawasan.
Namun, katanya, semangat patriotisme tidak seharusnya dizahirkan pada bulan Ogos dan September sahaja sebaliknya ia perlu dipupuk dalam kehidupan seharian.
Katanya, JAPEN giat melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun termasuk Info on Wheels (IOW), Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) secara modular, aktiviti patriotik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pembangunan kandungan digital bagi menarik minat golongan muda.
Menyentuh kes bendera terbalik dan kesilapan visual Jalur Gemilang yang dibangkitkan, Fahmi berkata ia berpunca daripada kecuaian mekanikal yang perlu diperbaiki.
Ketika menjawab soalan berkaitan tahap patriotisme dalam kalangan Generasi Z dan Alpha yang diaju Syed Ibrahim Syed Noh (PH–Ledang), Fahmi menegaskan pendekatan yang diambil kerajaan perlu disesuaikan dengan gaya hidup dan tabiat media golongan itu.
“Saya rasa ini antara perkara yang mungkin perlu kita teliti. Mereka mungkin tidak lagi membaca surat khabar, mereka banyak berada di media sosial dan mungkin kita kena ke arah media sosial untuk menyampaikan mesej-mesej seperti ini,” katanya.