KENYATAAN MEDIA
JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA)
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengambil maklum berkenaan satu insiden yang tular di media sosial pada 4 November 2025 melibatkan seorang anggota RELA yang sedang menjalankan tugas di Terminal Bas Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
Kejadian tersebut berlaku ketika anggota berkenaan sedang bertugas membantu kelancaran orang awam dan keselamatan di kawasan terminal. Anggota RELA tersebut telah ditegur secara kasar oleh seorang orang awam yang tidak berpuas hati selepas diminta mematuhi laluan yang telah ditetapkan ketika ingin menggunakan perkhidmatan bas.
Pihak pengurusan RELA memandang serius kejadian yang berlaku dan menegaskan anggota RELA juga adalah penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di bawah bidang kuasa jabatan ini. Oleh itu, sebarang tindakan menghalang, mengugut atau menengking anggota RELA semasa bertugas boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pihak Jabatan menghargai profesionalisme dan kesabaran anggota RELA tersebut ketika menangani situasi tegang dengan berhemah tanpa sebarang provokasi. Bagi mengekal dan mempertingkatkan kualiti anggota RELA bertugas, latihan dan bimbingan yang berterusan akan sentiasa diberikan sewajarnya.
Semoga usaha ini akan meningkatkan keyakinan orang awam dalam mendapatkan perkhidmatan anggota RELA dalam sebarang penugasan yang ditetapkan.
JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA)
KEMENTERIAN DALAM NEGERI