10 NOV : Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W Agang berkata berkata keputusan dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO yang membincangkan hala tuju perjuangan parti berasaskan agenda Sabah First, hari ini.
“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihanraya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta.
“Keputusan ini akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH dan parti-parti komponen PH,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu katanya, mesyuarat berkenaan turut menyokong keputusan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang meletakkan jawatan dalam Kabinet kerana tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepanjang prosiding Semakan Kehakiman terkait hak 40 peratus Sabah yang difailkan Sabah Law Society.
UPKO juga katanya bersedia bekerjasama dengan parti-parti tempatan Sabah yang mahu memperjuangkan agenda Sabah First bersama-sama supaya pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 seperti hak 40 peratus dapat diperjuangkan dengan lebih berkesan.
“UPKO juga berpendirian bahawa hubungan baik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah harus dijayakan tetapi mesti berasaskan kepada semangat, tujuan, intipati dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
“Kedua-dua Ahli Parlimen UPKO iaitu Ewon dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan terus menjunjung titah Yang ci-Pertuan Agong supaya kestabilan Kerajaan Persekutuan harus dikekalkan sehingga penggal ini berakhir,” katanya.