13 NOV : Etika dan nilai kemanusiaan menjadi kunci utama dalam menghadapi cabaran teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata risiko manipulasi maklumat sukar ditangani hanya melalui peraturan kerana ia bergantung kepada nilai kendiri dan etika pengguna.
Katanya, masyarakat kini berdepan cabaran penggunaan AI yang mampu memanipulasi pengguna tanpa disedari termasuk menjadikan mereka ketagih kepada algoritma dan berinteraksi dengan robot atau perisian AI seolah-olah ia manusia sebenar.
“Inilah sebabnya MCMC menekankan kepentingan etika dan panduan kendiri bagi membolehkan masyarakat membuat penilaian yang betul…namun, adakah masyarakat benar-benar mengamalkannya?
“Tidak kira sama ada sesebuah sistem itu bersifat autoritari atau terbuka, akhirnya ia bergantung kepada bagaimana kita memahami dan menangani masalah ini.
“Justeru, apa yang penting ialah nilai kemanusiaan yang kita tanam…kita mesti mewujudkan ruang perbualan yang selamat dan dipercayai dalam dunia sebenar antara manusia kerana hanya itu cara untuk menghadapi cabaran algoritma, AI, dan ‘deepfake’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam sesi perbincangan mengenai Etika dalam Kecerdasan Pemegang Taruh sempena Global Public Relations Conference & Festival 2025 (GPRCFMY 2025) di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam sesi sama, beliau menegaskan pengekangan digital yang dilaksanakan oleh MCMC bukan bertujuan mengekang kebebasan sebaliknya langkah itu adalah untuk melindungi dan mendidik masyarakat terutamanya golongan kanak-kanak.

Katanya, sejak awal lagi MCMC menekankan prinsip pengawalseliaan kendiri di mana nilai integriti, privasi dan kerahsiaan maklumat dihormati dalam setiap tindakan penguatkuasaan.
“Salah satu objektif utama kami adalah membina masyarakat beradab dan untuk mewujudkan masyarakat beradab memerlukan pengekangan yang bertanggungjawab.
“Ramai yang salah faham dengan tindakan pengawalseliaan dan menganggap ia menyekat kebebasan bersuara… sebenarnya, tindakan ini adalah cara terukur untuk menggalakkan pengguna menghargai kebebasan dengan bertanggungjawab,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pengekangan yang dilaksanakan bukan untuk menyekat tetapi bagi mengukuhkan keupayaan masyarakat menggunakan teknologi secara positif.
“Antara inisiatif MCMC termasuk penggunaan AI untuk menangani berita palsu serta program latihan di Pusat Informasi MCMC yang membolehkan masyarakat luar bandar memanfaatkan teknologi termasuk mendapatkan peluang pekerjaan.
“Program paling menarik adalah mengajar kanak-kanak autistik menggunakan AI… namun, seperti teknologi lain, AI juga mempunyai risiko,” katanya.
Beliau turut mengingatkan tentang bahaya AI dan media sosial terhadap kanak-kanak bawah 16 tahun yang dianggap golongan paling terdedah kepada ancaman dalam talian.
Katanya, risiko bukan sahaja datang daripada manusia tetapi juga daripada sistem AI yang boleh memberikan maklumat berbahaya.
“Contohnya, terdapat kes di Amerika Syarikat di mana seorang kanak-kanak berusia 14 tahun membunuh diri selepas mendapat jawapan sensitif daripada AI.
“Isu ini memerlukan perhatian global kerana pengawalseliaan AI dan media sosial adalah cabaran bersama termasuk tanggungjawab pengeluar AI dan platform media sosial untuk memastikan penggunaan teknologi secara beretika,” katanya.
OLEH : AISYAH BADRUL
Photo by Aidin Geranrekab on Unsplash