13 Nov : Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif bakal memulakan tanggungjawab baharu di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama negara yang terlibat dalam pembangunan mercu tanda baharu ibu negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan itu dibuat selepas tempoh perkhidmatan Maimunah sebagai Datuk Bandar dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025 selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, keputusan tersebut mengambil kira kepakaran dan pengalaman luas Maimunah dalam bidang perancangan bandar serta pembangunan lestari.
“Kerajaan percaya penempatan baharu bagi Maimunah akan dapat memastikan projek mercu tanda Bandaraya KL dapat direalisasikan dengan sempurna dan memenuhi hasrat serta aspirasi MADANI Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sepanjang mengetuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Maimunah berjaya memperkukuh tadbir urus dan membawa transformasi kewangan apabila DBKL mencatat lebihan RM27.6 juta pada 2024 berbanding defisit RM283 juta pada 2022.
Selain itu kata Shamsul Azri, Maimunah turut meletakkan KL di pentas antarabangsa melalui kerjasama dengan UNICEF dan penganjuran forum serantau seperti ASEAN Sustainable Urbanisation Forum serta ASEAN Governors and Mayors Forum.
“Bagi pihak Kerajaan, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Maimunah atas segala jasa dan bakti serta legasi unggul yang dicipta dalam membawa nama DBKL ke tahap membanggakan,” katanya.
Terdahulu, PETRONAS mengumumkan pelantikan Maimunah sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November ini.
Sementara itu, Datuk Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkuat kuasa esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata Fadhlun memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sebelum pelantikan ini, beliau menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022.
“Dalam tempoh tersebut, beliau menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian,” katanya.