14 NOV : Kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan semua agensi menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula semalam dengan tumpuan utama kepada lebih 3,600 lokasi berisiko banjir di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Hari ini dalam jemaah menteri, kami dimaklumkan mengenai persiapan jentera bagi menghadapi MTL. Timbalan Perdana Menteri memaklumkan secara teknikalnya monsun sudah bermula semalam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Menurut Fahmi, setakat ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti lebih 3,682 kawasan hotspot banjir, susulan jangkaan fenomena La Nina yang boleh menyebabkan peningkatan taburan hujan.
Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains turut mengenal pasti 254 cerun kritikal.
Selain itu katanya, 1,798 stesen hidrologi, 614 siren amaran banjir serta 285 rumah pam berada dalam keadaan siap siaga dengan tambahan pam bergerak disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sejumlah empangan juga dikenal pasti. Jika berlaku limpahan atau air melepasi tahap kritikal, tindakan intervensi segera akan diambil bagi menjamin keselamatan penduduk berhampiran,” katanya.
Fahmi berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersiap sedia dan telah diaktifkan di bawah Ops Murni untuk membantu operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir.
Mengulas soal beberapa menara telekomunikasi yang dinaik taraf bagi mengelakkan peralatan di aras tanah ditenggelami air, Fahmi berkata setakat ini kerja-kerja tersebut sudah siap.
“Di Sabah, saya mengarahkan 11 menara dinaik taraf dan dalam lawatan terakhir saya melihat sendiri kerja-kerja yang telah siap di kawasan yang sering dinaiki air. Persiapan ini berjalan dengan baik,” katanya.
Fahmi turut menegaskan keperluan memastikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mempunyai akses Internet sekiranya berlaku gangguan komunikasi.
“Arahan telah diberikan supaya semua PPS dilengkapkan dengan Starlink atau WiFi sekiranya berlaku gangguan perkhidmatan telekomunikasi. Ini penting untuk memastikan penduduk kekal mendapat capaian Internet, ” katanya.